1/01/2010

Renugkan,Fikirkan..

Tanggal 12.00 tengah malam semalam, kita telah melangkaui sempadan 2009 lalu memasuki ke zon 2010. 1 Januari adalah ‘check-point’ yang pertama sekali kita temui dalam perjalanan kehidupan di zon 2010 ini. Majoriti rakyat di seluruh negara melewati ‘check-point’ pertama ini dengan melakukan pelbagai kemungkaran dan perkara-perkara maksiat.


Apa kata kita periksa semula. Inikah sebenarnya lorong yang paling sesuai untuk kita sebagai seorang Muslim? Di antara banyak lorong, mengapakah lorong yang akan mencampakkan kita ke lembah kehinaan yang dipilih? Adakah kita telah mengkaji dan meneliti lorong-lorong tersebut terlebih dahulu samaada ia sesuai untuk kita atau tidak?

Kesilapan besar jelas kelihatan di sini. Majoriti remaja masa kini memilih untuk hanya mengikut peredaran arus berbanding menongkah arus semata-mata untuk sampai ke destinasi lebih pantas daripada orang lain sehinggakan ada yang sanggup melanggar hukum dan peraturan yang telah ditetapkan Allah.

Itulah masalah kita sebagai mahasiswa Islam pada masa kini. Ramai yang hanya mengikut arus sungai tanpa berfikir samaada arus sungai itu akan membawa mereka ke laut di mana ombaknya amat bergelora ataupun tasik yang tenang di mana mereka sudah tidak perlu berfikir tentang apa-apa masalah lagi.

Oleh sebab itu, sebagai seorang Muslim yang bergelar mahasiswa, kita perlu melontar sejauh mungkin sikap “Aku Tidak Pedulisme”. Sekiranya kita masih ingin menyimpan sikap itu dalam diri masing-masing, terlalu mudah untuk pihak musuh untuk melalaikan kita dan membawa kita kea rah kehancuran seperti yang dianalogikan di atas.

Sebagai contoh yang paling terdekat kita lihat ialah sambutan 1 Januari. Mengapakah kita lebih suka menyambut 1 Januari berbanding 1 Muharam? Padahal 1 Muharam sebenarnya adalah Tahun Baru untuk umat Islam dan bukannya 1 Januari. Berdasarkan fakta sejarah sendiri menunjukkan bahawa 1 Januari itu sendiri adalah berasal daripada perayaan Rom kuno di mana kebanyakannya adalah penyembah berhala.

Allah pernah berfirman :
“Untukmu agamamu, dan untukku agamaku”.
(Surah Al-Kafirun 106;6)
Jelas di sini Allah menegaskan di dalam Al-Quran bahawa Allah melarang umat Islam daripada mengikut budaya agama lain. Di ayat lain Allah juga pernah berfirman :
“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani,semua itu akan diminta pertanggungjawabannya.”
(Surah AL-Isra”,17;36)
“Banyak di antara ahli kitab menginginkan sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu setelah kamu beriman, menjadi kafir kembali,kerana rasa dengki dalam diri mereka, setelah kebenaran jelasbagi mereka.”
(Surah Al-Baqarah,2;109)

AS-Syaheed Imam Hassan al-Banna pernah mencatatkan dalam risalahnya yang berbunyi :
“Pemuda, dari dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-mana kebangkitan, malahan angkatan pemudalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi perjuangan Islam.”
Renung dan fikirkanlah wahai mahasiswa Islam!..

Pandangan
Nastasya Azida Anuar
Sains Makanan dan Pemakanan FST
Tahun 2

ISLAM UNTUK SEMUA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan