4/29/2012

1)Wajib Ingkar Perintah Pemimpin Yg Menyalahi Ajaran Agama & Meninggalkan Pembunuhan Selagi Mereka Masih Solat & Seumpamanya


عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَتَكُونُ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ عَرَفَ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ قَالُوا أَفَلَا نُقَاتِلُهُمْ قَالَ لَا مَا صَلَّوْا
Maksud: Daripada Ummu Salamah sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang para pemimpin, kalian kenal mereka namun kalian mengingkari(perbuatan mereka), sesiapa yang mengetahui (kemungkarannya) hendaklah berlepas diri, dan barangsiapa yang mengingkari, maka ia telah selamat. Tetapi bagi sesiapa yang redha dan mengikuti, para sahabat mencelah, “Bagaimana jika memerangi mereka?”. Baginda menjawab, “Tidak, selagi mereka masih solat”.

Takhrij: Riwayat Muslim, Kitab al-Imarah, Bab Wajib Ingkar Perintah Pemimpin Yg Menyalahi Ajaran Agama & Meninggalkan Pembunuhan Selagi Mereka Masih Solat & Seumpamanya, No Hadith: 62

Keterangan hadis
·         Sabda Nabi SAW pada lafaz (فَمَنْ عَرَفَ فَقَدْ بَرِئَ) dan pada riwayat lain berbunyi(فَمَنْ كَرِهَ فَقَدْ بَرِئَ) menjelaskan bahawa siapa yang membenci kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpinnya serta tidak mampu  mengingkari dengan tangan dan lisannya, dan dia membenci dengan hati, maka dirinya terlepas dari dosa dan hukuman.
·         Begitu juga bagi sesiapa yang mengetahui kemungkaran dan dia tidak mengikutinya, maka terputuslah baginya daripada dosa dan hukuman. Sepatutnya dia mengubah dengan tangannya atau dengan lisannya, namun jika dia tidak mampu hendaklah membencinya dengan hati.
·         Sesiapa yang tidak mampu untuk menghilangkan kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpinnya, tidaklah berdosa hanya dengan berdiam diri tetapi berdosa apabila dia meredhainya. Ini dapat dilihat melalui sabda Nabi SAW: (وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ) yang bermaksud, “tetapi berdosa dan dijatuhkan hukuman bagi sesiapa yang redha dan mengikuti”.
·         Adapun pada sabda Nabi SAW: (أَفَلَا نُقَاتِلُهُمْ قَالَ لَا مَا صَلَّوْا), ianya membawa maksud bahawa rakyat tidak harus keluar daripada pemimpin apabila pemimpin tersebut melakukan kezaliman dan kefasikan selagi mana mereka tidak mengubah sesuatu daripada syariat Islam.

Pengajaran
1.      Sesiapa yang membenci kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin, maka dia telah berlepas diri daripada dosa dan hukuman
2.      Sesiapa yang tidak mampu mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin hendaklah dia berdiam diri kerana tindakan ini tidak akan mendatangkan dosa kerana yang mendatangkan dosa ialah apabila seseorang itu redha dengan kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin
3.      Setiap Muslim wajib mentaati pemimpin mereka selama mana pemimpin tersebut tidak mengingkari syariat Islam

         Rujukan:
-       Syarah Sahih Muslim oleh al-Imam al-Nawawi
-       Fath al-Mun'im Syarh Sahih Muslim oleh Musa Shahin al-Ashin

        Oleh:
         Nor Yasmin binti Abu Talib



Tiada ulasan:

Catat Ulasan